Wednesday, 14 December 2011

Skuad Olimpik tewas perlawanan kedua

Pertahanan Malaysia, Mahali Jasuli bersaing dengan pemain Jepun, Genki Haraguchi ketika aksi kelayakan Olimpik London di Tosu pada 21 September 2011. 

KUALA LUMPUR, (Bernama) - Skuad Harimau Muda A bimbingan jurulatih Ong Kim Swee gagal mengulangi kemenangan apabila tumpas 0-1 kepada Central Coast Mariners pada perlawanan persahabatan kedua jelajah Australia di padang Olahraga Mingara, Tumbi Umbi, New South Wales pada Rabu.
Pada Selasa, skuad bawah 23 negara (B-23), yang dibarisi beberapa muka baru mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Sydney FC menerusi dua jaringan penyerang Kuala Lumpur Ahmad Hazwan Bakri dan pemain pertahanan K.Gurusamy pada perlawanan persahabatan pertama di Stadium Bola Sepak Sydney.
Jelajah itu sebahagian daripada persediaan skuad tersebut untuk berdepan Liga Singapura tahun depan, selain mengharungi baki tiga perlawanan kelayakan Olimpik 2012 menentang Jepun, Bahrain dan Syria pada Februari depan.
Kapten pasukan lawan Daniel McBreen menjaringkan gol kemenangan pada separuh masa kedua, yang menyaksikan skuad Mariners membuat beberapa pertukaran pemain di separuh masa kedua, demikian menurut laman web penyokong Harimau Malaya www.malayatigers.com.
Pada perlawanan itu, Kim Swee turut membuat perubahan dengan menurunkan pemain yang berbeza berbanding persahabatan pertama.
Harimau Muda akan bertemu Newcastle Jets FC pada 19 Dis sebagai penutup jelajah itu sebelum pulang ke tanah air 21 Dis ini.

No comments: