Zulfadli Zulkiffli ketika beraksi pada acara akhir perseorangan lelaki di Sirkit Kebangsaan Remaja Kebangsaan 100PLUS pada 17 April 2011.
Zulfadli Zulkiffli merangkul kejuaraan badminton perseorangan remaja dunia 2011 menjadi pembakar semangat kepada Zulfadli Zulkiffli untuk beraksi cemerlang pada setiap kejohanan yang akan disertainya.
Kejohanan pertama yang dihadapi adalah Cabaran Antarabangsa Proton Malaysia 2011 yang sedang berlangsung di Kompleks Sukan Sandakan dan selepas ini dia akan beraksi di Kejohanan Terbuka Macau pada hujung bulan ini.
"Tumpuan saya pada masa sekarang adalah untuk memberi persembahan terbaik dalam kejohanan di sini tanpa mengira lawan yang akan dihadapi," katanya ketika ditemui selepas menundukkan Takeshita Riichi dari Jepun pada pusingan kedua hari ini.
Zulfadli, 18, menyedari kehadiran ramai pemain dari luar negara pada Cabaran Antarabangsa Proton pada tahun ini akan memberi saingan sengit dalam setiap peringkat yang dihadapi.
Menurut beliau semua pemain perseorangan termasuk dari negara ini mempunyai kelebihan masing-masing dan untuk itu dia perlu bermain bersungguh-sungguh dalam setiap perlawanan tanpa mengira siapa lawan yang dihadapinya.
Zulfadli adalah pemain daripada kelab profesional, KLRC, dan menjuarai perseorangan remaja Asia pada April lepas.
Jurulatih yang juga bapanya, Zulkiffli Sidek, berkata beliau berpuas hati dengan tahap permainan Zulfadli biarpun menghadapi dua kejohanan berturut-turut pada bulan ini selepas dinobatkan juara perseorangan remaja dunia.
No comments:
Post a Comment